Friday, January 7, 2011

Kesan Asyura Pada Diri Kita

Di dalam sebuah riwayat Mutawattir dan sahih dari Rasulullah(sawa), adalah disebutkan bahawa Rasulullah bersabda: “Aku tinggalkan kalian 2 perkara, yang mana jikalau kalian ikuti tidak akan sesat selamanya, iaitu Al Quran dan itrat Ahlulbait(as).

Mesej dari kitab Al Quran, -seperti yang dijelaskan oleh hadis di atas- disebutkan oleh Rasul, bahawa akan diteruskan, dilindungi dan disebarkan oleh para Imam(as) yang mulia, dari itrat Nabi sendiri.

Para Imam kita yang suci, merupakan wira-wira pelindung agama yang ulung, dan ini dapat kita lihat  dengan jelas berdasarkan sifat taat dan patuh kepada ajaran kitab Al Quran, seperti yang dipercontohkan kepada kita oleh Imam Hussain(as). Inilah sebabnya Rasulullah(sawa) sering didengari mengucapkan frasa yang agung ini kepada Imam Hussain(as), “Hussain ialah dari ku, dan aku ialah dari Hussain.” Sejarah menayangkan kepada kita betapa Imam Hussain tidak pernah gagal menjalankan tugas beliau sebagai seorang Muslim sepanjang hayatnya. Beliau(as) mengikuti sepenuhnya jejak langkah Rasul(as) dalam segala hal kecuali Kenabian, walaupun jika terpaksa mengorbankan nyawa.

Syeikh Mufid di dalam kitabnya, al Irshad, menukilkan sebuah surat Imam Hussain yang akan beliau tuliskan kepada para penduduk Kufah, sebelum beliau(as) menerima jemputan mereka setersunya bertolak ke Kufah. Di dalam surat itu, beliau menjelaskan secara terperinci tugas beliau sebagai seorang Imam. Di dalam penutupnya, Imam menyatakan:

Jikalau beliau (Muslim Bin Aqil) menuliskan kepada ku tentang pendapat para pemimpin dan orang-orang terpelajar di kalangan kalian, yang bersatu seperti mana yang dikhabarkan kepada ku oleh pembawa utusan, maka sudah pasti aku akan pergi kepada kalian sepantas yang mungkin, insyaAllah. Ini kerana demi nyawa ku, Imam ialah seorang yang berhakim dengan Kitab Allah, yang menegakkan keadilan, yang menyebarkan agama kebenaran dan yang berdedikasi terhadap asas-asas ketuhanan.

Imam Hussain menjalankan tugas sebagai Imam ini hanya semata-mata kerana mencari keredhaan Illahi, dan sebagai hasilnya, Muslim di seluruh dunia, tanpa mengira negara, samada di Nigeria, Iran, UK, US, Indonesia, Australia, Columbia dan banyak lagi negara, menangisi, memperingati dan meratapi tragedi syahidnya Imam Hussain berserta para Syiah beliau dari kalangan keluarga dan para sahabatnya.

Kesan Dari Asyura

Antara elemen terpenting dalam usaha manusia mencari kedekatan kepada Allah swt, yang juga merupakan “alat” yang paling berkuasa dimiliki oleh manusia, iaitu Hati.  Apakah agaknya yang dirasai oleh manusia apabila melihat atau mendengar tragedi-tragedi yang terjadi di seluruh dunia? Kita dapat melihat, umat manusia bersatu sesama mereka apabila tragedi menimpa ke atas mereka, tidak kitalah samada tragedi Columbine High, serangan 11 September dan ribut Katrina, atau korban ratusan ribu wanita dan kanak-kanak di Iraq, Afghnistan dan lain-lain.

Bagaimana agaknya perasaan kita apabila berita kematian ahli keluarga terdekat yang sangat rapat dibawakan kepada kita? Apa pula perasaan  apabila kita mengetahui keluarga kita itu mati dalam keadaan yang sangat tragik dan menyedihkan? Namun semua ini akan menjadi sangat kecil apabila kita bandingkan dengan Asyura, kerana betapa besarnya tahap tragedi dan kesedihan ini.

Adakah terlampau sukar bagi kita untuk membayangkan keturunan suci Rasulullah(sawa) berada di tanah gersang Karbala, tanpa diberikan setitis air sekalipun? Bagaimana boleh sampai kepada keadaan di mana tiada seorang pun yang sanggup membiarkan remaja wanita seperti Sakinah, atau bayi berumur 6 bulah seperti Ali Asgar tanpa setitik air? Betapa hancurnya hati ini apabila mengetahui wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah telah dipaksa untuk menderita akibat tekak yang kerig, selama beberapa hari di tanah yang gersang itu.

Hancur luluh hati ini apabila mengetahui 72 orang tentera yang berjuang dengan gigih dan berani demi Islam, yang sedikit sekali bilangan mereka berbanding dengan tentera musuh, telah dibunuh dengan kejam oleh para individu yang menyokong penindasan dan kekejaman. Bertambah sedih hati ini apabila mengetahui bahawa puak penindas itu bukanlah dari golongan kafir, tetapi dari kaum Muslimin. Mereka yang mengaku sebagai orang Islam ini, begitu berani sekali dengan membunuh orang-orang seperti Ali Akbar, yang mempertahankan Imam Hussain(as). Jenis orang macam mana yang tergamak untuk menentang Aba Abdillah, yang menumpahkan darah Sayyidus Syuhada? Binatang jenis apa yang sanggup memenggal kepala milik seorang yang begitu agung, dan membiarkan badannya dipijak-pijak oleh kuda sehingga tertimbus ke dalam pasir? Badan yang suatu ketika dahulu didukung oleh penghulu segala Nabi, Muhammad(sawa).

Untuk diri saya, hanya dengan mengucapkan yang saya berasa sedih dan sakit untuk tragedi ini jelas tidak mencukupi. Untuk diri saya, hanya sekadar melihat peristiwa ini sebagai tragedi biasa akan menggolongkn saya sebahagian dari orang yang tidak adil. Peristiwa ini lebih dari sekadar tragedi malang atau pembunuhan beramai-ramai.  Peristiwa yang terjadi pada hari itu adalah cukup besar sehingga banyak riwayat yang mengatakan langit menjadi hitam pada hari Asyura, dan bumi menjadi sebegitu rupa sehingga manusia mula menganggap Hari Kiamat akan bermula. Sudah tentu, bagi ramai orang pada hari itu menjadi “Hari Penyesalan”. Langit dan bumi malah malaikat menangisi hari itu. Maka sudah tentu kaum Muslimin dan Mukminin juga akan terus menangisi dan meratapi hari Asyura.

Ini menjadi inspirasi kepada saya untuk melaungkan “Ya Hussain” dan untuk saya menangisi serta memperingati tragedi ini. Sekarang saya boleh memahami mengapa Nabi(sawa) sendiri menangis ketika Imam Hussain masih lagi kecil. Bibi Fatimah(as) bertanya kepada bapanya tentang mengapa baginda menangis, lalu baginda menjawab: “Kerana suatu hari nanti beliau akan mati dan tiada siapa yang ada untuk mengebumikan jenazah cucuku.”

Imam Kita, Tugas Kita Hari Ini

Sememangnya masa telah mengubah cara hidup kita, kita semua bersetuju masyarakat dan manusia telah berubah dengan banyak sekali jika dibandingkan dengan zaman Nabi(sawa) dahulu. Sesetengah orang telah mula mewar-warkan idea bahawa Islam bukanlah agama yang moden dan tidak sesuai diamalkan di zaman moden ini. Sesetengah orang turut mempunyai perspektif yang sama tentang peristiwa Asyura dan Karbala. Orang-orang ini merasakan peristiwa Karbala tidak lagi relevan kepada kita hari ini.

Antara sifat-sifat Allah swt ialah Adil. Adalah menjadi suatu perkara yang tidak adil bagi Allah swt untuk meletakkan manusia di muka bumi tanpa sebarang panduan atau garis panduan untuk membezakan antara hak dan batil. Atas sebab inilah Al Quran menjadi sumber panduan abadi untuk manusia.(Al Quran 2:2).  Sebagai gandingan kepada kitab ini, Allah juga mengutuskan para Imam sebagai panduan selepas wafatnya Nabi(sawa).

Hari ini, di masa keghaiban Imam kita, Al Mahdi(semoga Allah mempercepatkan kezuhurannya), kita masih mempunyai berbagai cara untuk melaksanakan, menyebarkan mesej Islam, mesej yang mana Imam Hussain terkorban demi melaksanakannya. Kita mempunyai berbagai cara, kerana kita mendapat kesan dari peristiwa Asyura dan Karbala. Begitu ironik sekali kerana peristiwa sejarah ini akan akan berulang sekali lagi di masa Imam Mahdi(as) nanti.

Apabila zuhurnya Imam Zaman, beliau juga akan ditinggalkan, dijauhi oleh ramai orang, walaupun oleh orang-orang yang menggelarkan diri mereka sebagai Syiah, seperti juga halnnya Imam Hussain(as). Telah diriwayatkan dalam kitn Mizanul Hikmah, bahawa apabila Imam Mahdi memulakan penentangannnya, sesetengah orang yang menyangka dirinya merupakan Syiah akan meninggalkan Imam Mahdi, dan orang lain yang menyembah selain dari Allah pula yang akan mengikuti beliau.

Satu lagi persamaan ialah tahap kesabaran kedua Imam ini. Imam Hussain menunggu sehingga berakhirnya tempoh perjanjian Imam Hassan dan Muawiyah sebelum memulakan jemputan secara terbuka kepada jalan Islam yang sebenarnya. Imam Hussain menunggu dengan penuh sabar akan kesediaan dan kemahuan manusia untuk menyokong(atau mendakwa menyokong) beliau. Imam Mahdi juga masih menunggu. Para ulama kita telah memberi khabar gembira akan berakhirnya penantian kita untuk Imam kita. Oleh itu, setiap Muslim dan pengikut Ahlulbait(as), tanpa mengira bangsa, agama dan negara, perlulah bersedia untuk kehadiran Imam Zaman kita. Imam Mahdi sedang menunggu kita, bukan sebagai individu, tetapi sebagai satu Ummah, yang datang bersama semata-mata untuk mencari keredhaan Allah swt.

Ini semua harus bermula dengan satu arah tuju. Mari kita bersama-sama mengambil pengajaran dari Karbala dan Asyura, dan dengannya meningkatkan tingkat Iman kita, agar kita menjadi Mukmin dan Muttaqin.

Seperti pepatah yang selalu kita dengar, “Setiap hari ialah Asyura, dan setiap tempat ialah Karbala”, ini menandakan Asyura bukanlah semata-mata satu hari di mana kita meratap kesedihan untuk Imam Hussain dan Ahlulbait, tetapi merupakan satu hari yang harus kita ingati sepanjang tahun. Jika saya benar-benar terkesan oleh peristiwa ini, maka saya perlu berusaha agar tidak melupakannya. Janganlah kita hanya mengingatinya untuk 10 hari pertama Muharram, tetapi melupakannya sehari selepasnya. Semagat yang kita warisi dari azadari, perlu kita sematkan sentiasa sebagai persedian untuk menyambut kedatangan Imam Zaman.

Saya akhiri artikel ini dengan firman Allah(13:11):

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Allahumma Solli ‘al Muhammad wa aali Muhammad

PrintFriendly

View the original article here


EmoticonEmoticon