Monday, April 25, 2011

Imam Ali Menuntut Jawatan Khalifah

Salam wa rahmatollah. Bismillahir Rahman Ar Rahim

Dalam siri Imamah yang lepas, telah diberikan banyak dalil yang membuktikan Imamah Ali Ibn Abi Thalib serta wilayah Ahlulbait(as) ke atas umat Islam. Persoalan yang timbul ialah jika benar perlantikan ini terjadi, dan arahannya adalah dari Rasulullah, maka mengapakah beliau tidak menuntutnya, meskipun perlu kepada pertumpahan darah? Ingat, ini bukan perkara kecil kerana ia adalah perintah Allah dan RasulNya.

Jika anda mengatakan Imam Ali langsung tidak menuntut jawatan khalifah adalah tidak tepat sama sekali. Bahkan beliau telah memencilkan diri di rumah beliau tanpa memberikan baiat kepada Abu Bakar, sehingga memaksa si khalifah datang menemui beliau dengan harapan Imam Ali mengakui kedudukannya.

Imam Ali mengemukakan beberapa soalan kepada beliau, khususnya mengenai hak sebagai khalifah, secara langsung selepas kewafatan baginda Rasul adalah miliknya berdasarkan hadis-hadis Rasulullah yang melantik beliau di Ghadir Khum. Dalam sesi dialog ini Abu Bakar mengakui hak Imam Ali, dan hampir menyerahkannya semula kepada  beliau, jika tidak kerana campur tangan Umar. Berikut ialah sesi dialog itu.

Imam berkata kepada Abu Bakar, “Aku adalah hamba Allah dan saudara RasulNya!”

Lalu berkata kepada seseorang kepada Imam Ali, “Berbaiatlah kepada Abu Bakar.”

Imam Ali: Aku lebih berhak kepada jawatan ini, dan aku tidak akan membaiat kamu, kerana kamu lebih patut membaiat aku. Kamu mengambil jawatan ini dari Ansar dengan alasan kekerabatan kamu dengan Rasulullah(sawa), sedangkan kamu mengambilnya dari kami, Ahlulbait Nabi secara rampasan. Kamu membuat dakwaan atas golongan Ansar bahawa kamu lebih layak akan jawatantersebut kerana kedudukan kamu di sisi Rasulullah, lalu mereka menyerahkan kepada kamu tampuk pemerintahan. Sekarang aku berhujah dengan kamu sebagaimana kamu berhujah dengan kaum Ansar bahawasanya kami Ahlulbait lebih layak di sisi Rasulullah samada hidup atau mati. Oleh itu, kembalikanlah kepada kami sekiranya kamu orang-orang yang benar. Jika tidak, kamu sebenarnya telah mengembalikan semula kezaliman sedang kamu menyedarinya.”

Lantas Umar berkata: “Kamu tidak akan dibiarkan begitu sahaja hinggalah kamu berbaiat.”

Imam Ali: “Perahlah susu dengan sekali perahan, dan untukmu separuh darinya. Berilah sokongan penuh mu kepada Abu Bakar, agar dia menyerahkan kepada mu(jawatan khalifah) esok.”(*Dan memang benar ia terjadi seperti mana yang diucapkan beliau, jawatan khalifah diwariskan tanpa Syura terus kepada Umar)

Imam Ali meneruskan hujahnya: “Demi Allah wahai Umar, aku tidak menerima kata-kata mu dan aku tidak mungkin akan membaiat.”

Abu Bakar: “Sekiranya dia tidak mahu membaiat, maka aku tidak mahu memaksanya.”

Rujukan: Al Imamah wa Siyasah; Ibnu Qutaibah, hal. 23

Setelah itu rumah Imam Ali dikepung oleh sekumpulan samseng, yang mengaku diri mereka sebagai sahabat Rasul, bahkan diancam bakar jika mereka tidak mahu keluar memberi baiat. Maka beberapa orang dari pengikut Imam merasa takut lalu menyatakan persetujuan, maka tinggallah hanya beberapa orang yang tetap setia bersama Imam. Setelah itu Imam Ali diheret keluar bertemu dengan Abu Bakar, dan di situ penyokong Abu Bakar berkata kepadanya:

Penyokong Abu Bakar(PAB): Baiatlah Abu Bakar!!

Imam Ali: Jika aku tidak mahu membaiat, apa yang akan kalian lakukan?

PAB: Demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, kami akan memancung leher mu!

Imam Ali: Jadi kamu sanggup membunuh seorang hamba Allah dan saudara Rasulnya?

Umar mencelah: Kamu memang seorang hamba Allah, tetapi bukan saudara Rasulullah!

Ketika pertengkaran sedang hangat berlaku, Abu Bakar hanya diam membisu tanpa berkata sepatah pun. Melihat keadaan itu, Umar berkata pada Abu Bakar: “Tidakkah kamu mahu mengeluarkan sebarang perintah terhadap tindakan Ali ini?”

Abu Bakar menjawab: “Aku tidak mahu memaksanya selagi Fatimah ada di sisinya.” Setelah itu, Imam Ali dilepaskan lalu beliau berlari ke kubur Rasulullah(sawa) sambil berkata: “Wahai sepupuku, sesungguhnya kaum itu menghinaku dan mahu membunuhku.”Al Imamah wa Siyasah; Ibnu Qutaibah, hal. 25

Setelah dialog ini, Imam Ali dibiarkan tanpa berbaiat selama 6 bulan, sehingga pemergian Fatimah Zahra. Dialog di atas dipetik dari kitab Al Imamah wa Siyasah karangan Imam Ibnu Qutaibah ad Dainuri. Beliau adalah di antara ulama Ahlul Sunnah yang dipercayai kutipannya. Antara karangan beliau yang mashyur ialah:

Gharibul QuranGharibul HadisMusykilul QuranUyun al AkbarAl MaarifAdabul Katib

Berikut ialah beberapa ulasan ulama Sunni tentang keperibadian Ibnu Qutaibah:

Ibnu Khalikan berkata: Ibnu Qutaibah ialah seorang yang dihormati Allah dan dipercayai.(Siyaru Alamin Nubala: 13/296-302 dan Wafayatul Ayan: 2/246)Ibnu Katsir berkata: Ibnu Qutaibah ialah seorang yang paling dipercayai dan terhormat. (al Bidayah wa An Nihayah; 2/48)Ibnu Hajar berkata: Ibnu Qutaibah ialah seorang yang dipercayai dalam ucapannya.(Lisanul Mizan, 3/357)Maslamah bin Qasim berkata: Ibnu Qutaibah ialah seorang yang dipercaya dikalangan Ahlul Sunnah.Az Zahabi berkata: Ibnu Qutaibah bukanlah ulama hadis, tetapi beliau ialah ulama yang mashyur. Di sisinya ilmu-ilmu yang banyak dan penting. (Siyaru Alamin Nubala; 13/196-302)

Sekiranya masih ada yang kurang berpuas hati dengan nukilan riwayat di atas, maka akan saya bawakan perbandingan dari kitab-kitab Ahlul Sunnah yang lain, iaitu Sahih Bukhari(Hadis Bilangan 3711,3712,4035,4036,4240,4241,6725&6726), Sahih Muslim(Bil. 4555), Sunan Abu Daud(Hadis 2968-2970) dan Sunan An Nisa’i(Hadis 4152)

Menerusi kitab-kitab di atas, jelas memperlihatkan penyesalan Abu Bakar ketika sesi dialog yang kedua dengan Imam Ali selepas kewafatan isterinya.

Secara ringkas, riwayat telah menceritakan bahawa setelah Fatimah datang bertemu Abu Bakar untuk menuntut haknya, yakni tanah Fadak dan Khumus, Abu Bakar enggan menyerahkannya bersandarkan kepada hadis yang berbunyi: “Kami para Nabi tidak mewariskan dan apa yang kami tinggalkan adalah sedekah.”(Hadis ini palsu riwayat Abu Bakar, akan dibuktikan). Mendengarkan alasan itu, Fatimah sangat berdukacita lalu menjauhkan dirinya dari Abu Bakar serta tidak bercakap dengan beliau sehingga wafat. Fatimah(sa) hanya hidup 6 bulan setelah kewafatan bapanya.

Sebelum beliau wafat, Fatimah telah mewasiatkan suaminya agar melarang Abu Bakar atau sesiapapun menyembahyangkannya. Bahkan jenazah suci beliau perlu dikuburkan ditempat yang tidak diketahui oleh orang ramai.

Ketika hayat isterinya, orang ramai masih memberi tumpuan kepada Imam Ali. Sebaliknya setelah pemergian Fatimah, tumpuan masyarakat mula berkurangan. Seterusnya Imam mencari jalan penyelesaian dengan menjemput Abu Bakar untuk berdialog, dengan syarat Umar tidak turut serta. Namun Umar tetap mahu mengiringinya.(*Umar berasa takut, jika Abu Bakar pergi seorang diri, beliau akan kalah dalam hujah-hujah Ali, maka kita dapati, Umar lebih banyak bercakap dari Abu Bakar)

Diantara teks dialog tersebut Imam Ali berkata kepada Abu Bakar: “Kamu merampas hak khalifah tersebut dari kami, dan kami melihat bahawa kami(ahlulbait) ada hak kerana kekerabatan kami dengan Rasulullah!” dan imam terus berbicara hingga Abu Bakar menangis teresak-esak.

Cuba anda perhatikan teks riwayat yang saya bawakan dari Sahih Muslim. Teks riwayatnya seperti ada yang tertinggal atau mungkin sengaja dibuang. Ia hanya mengemukakan dialog “…dan beliau(Imam Ali) terus berbicara hingga Abu Bakar menangis teresak-esak.”

Persoalannya apa yang membuatkan Abu Bakar menangis teresak-esak? Di manakah perginya teks dialog lain yang mengharukan itu, sehingga Abu Bakar menangis tersak-esak? Apakah sekadar Imam berkata “anda telah merampas hak kami…” sudah cukup membuatkan Abu Bakar menangis?

Berikut akan saya kemukakan teks dialog diantara Abu Bakar dan Imam Ali yang membuatkan dia menangis menurut catatan Allah Thabrisi di dalam kitab Al Ihtijaj: 1/115-129, kemudian saya akan merujuk kitab-kitab Ahlul Sunnah sebagai pengukuh kepada kesahihan hadis-hadis tersebut.

Daripada Jaafar, yang meriwayat dari bapanya Muhammad yang meriwayat dari bapanya Ali meriwayat dari bapanya Hussain meriwayat dari bapanya Ali bin Abi Thalib:

“Setelah selesai urusan Abu Bakar dan pembaiatan orang ramai kepada nya serta tindakan ancaman terhadap Imam Ali(as) Abu Bakar masih tetap mengharapkan Imam Ali memberi baiat, bagaimanapun Abu Bakar menerima reaksi negatif daripada Imam(as). Abu Bakar menganggap perkara ini sebagai serius, lalu ingin berjumpa dengan beliau dan meminta penjelasan dari Imam. Abu Bakar juga memohon maaf kepada beliau di atas pembaiatan orang ramai, dan ia berlaku bukan di atas kehendaknya, yang tidak mahukan jawatan khalifah, disebabkan oleh kelemahannya. Abu Bakar mengadakan pertemuan 4 mata dengan Imam Ali(as).

Abu Bakar: Wahai Abul Hassan. Demi Allah, perkara ini(jawatan khalifah) bukanlah benar-benar keinginan ku, kerana aku sendiri tidak mempunyai keyakinan pada diriku terhadap keperluan umat ini. Aku tidak memiliki harta yang banyak, dan keluarga ku pula ramai. Oleh itu, mengapa kamu menyembunyikan diriku apa yang aku tidak berhak dari kamu. Kamu melahirkan kebencian terhadap diriku?(Al Imamah was Siyasah; Hal.18-19, Marujuz Zahab;2/302, Tarikh Yaakubi;2/127)

Imam Ali: Apa yang mendorong kamu untuk memegang jawatan khalifah ini sekiranya kamu benar-benar tidak menginginkannya? Bahkan kamu merasa kurang yakin dengan dirimu sendiri dalam mengendalikannya.

Abu Bakar: Sebuah hadis yang aku mendengarnya daripada Rasulullah(sawa): “Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat menuju ke arah kesesatan” maka dengan ini, apabila aku melihat kesepakatan(ijmak) orang ramai atas perlantikan ku, maka aku mengikuti sabda Nabi tersebut.(Milal wan Nihal: 1/9) Bahkan aku langsung tidak terfikir bahawa kesepakatan mereka menyalahi petunjuk. Oleh itu aku memberikan jawaban positif(dengan menerima perlantikan itu). Sekiranya aku mengetahui walau seorang pun yang tidak bersetuju dengan perlantikan itu, maka pasti aku akan menolaknya.

Imam Ali: Sabda Nabi yang kamu sebutkan itu bahawa sesungguhnya umat ini tidak akan bersepakat menuju ke arah  kesesatan itu, adakah aku ini sebahagian dari umat atau tidak?

Abu Bakar: Tentu sekali kamu itu sebahagian dari umat.

Imam Ali: Adakah golongan yang menentang kamu itu seperti Salman, Ammar, Abu Dzar, Miqdad, Ibnu Ubbad dan orang-orang Ansar lain yang bersama mereka itu termasuk di dalam umat?

Abu Bakar: Semuanya termasuk di dalam umat

Imam Ali: Jadi bagaimana kamu boleh berhujah dengan hadis tersebut, sedangkan orang-orang seperti mereka telah membelakangi kamu? Sedangkan umat tidak mencela mereka, dan persahabatan mereka dengan Rasulullah sangat baik sekali?

Abu Bakar: Aku tidak mengetahui penentangan mereka berlaku selepas perlantikan khalifah. Aku bimbang sekiranya aku tidak mengambil berat perkara ini(hal pemeritahan) orang ramai akan menjadi murtad. Oleh itu tindakan mereka memilih ku adalah memudahkan untukku memberi pertolongan di dalam agama dan mengekalkannya dari permusuhan dikalangan mereka yang membawa mereka menjadi kafir. Aku menyedari bahawa kamu bukanlah orang yang dapat mengekalkan mereka dan agama mereka.

Imam Ali: Benarkah? Baik, beritahukan kepadaku tentang orang yang berhak menjadi khalifah dan dengan sifat apakah dia berhak ke atasnya?

Abu Bakar: Dengan nasihat, kesetiaan, akhlaq yang baik, melaksanakan keadilan, alim dengan kitab Allah dan sunnah Rasulnya, memiliki puncak kefasihan yang tinggi, zuhud dalam soal duniawi, tidak cintakan dunia, menyelamatkan orang yang tertindas samada yang jauh atau dekat..(setelah itu Abu Bakar terdiam..)

Imam Ali: Orang yang terawal memeluk Islam dan kerabat Nabi?

Abu Bakar: Ya

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah sifat-sifat tersebut ada pada kamu atau diriku?

Abu Bakar: Bahkan pada dirimu wahai Abul Hassan.(Lisanul Mizan:6/78, Al Manaqib Hal. 7, Al Bidayah Wan Nihayah,7/356)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah aku yang terawal menyahut dakwah Nabi dari kalangan lelaki atau kamu?

Abu Bakar: Kamu(Yanabi al Mawaddah: Hal 91-92)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah!Adakah aku yang mengisytiharkan surah Al Baraah(at Taubah) di musim haji akbar atau kamu?

Abu Bakar: Kamu.(Musnad Ahmad:1/56, Sahih Tarmizi: 2/461, Mustadrak al Hakim:2/51)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah aku yang mempertahankan(menjadi pengawal) di hari al Ghadir atau kamu?

Abu Bakar: Kamu.(Rujuk Siri:Imamah di Daftar Artikel)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah aku maula kamu dan keseluruhan kaum Muslimin melalui hadis Nabi di Ghadir atau kamu?

Abu Bakar: Kamu

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah ayat al Wilayah daripada Allah itu berkenaan dengan cincin yang aku sedekahkan atau kamu?

Abu Bakar:Kamu

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah wazarah(menteri/pembantu) bersama Nabi yang diibaratkan seperti Harun di sisi Musa itu aku atau kamu?

Abu Bakar: Kamu

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah Ayatul Thathir itu untukku, isteri ku dan anak-anak lelaki ku atau untuk kamu, isterimu dan anak-anakmu?

Abu Bakar: Kamu, isterimu dan kedua anak lelaki mu.

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah Rasulullah mempertaruhkan aku, isteriku dan kedua anak lelaki ku ketika ber Mubahalah dengan kaum Nasrani atau mempertaruhkan kamu, isterimu dan anak-anak lelaki mu?

Abu Bakar: Dengan kalian.(Peristiwa Mubahalah)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah aku, isteriku dan anak-anak lelaki ku yang didoakan oleh Rasulullah di hari al Kisa: “Ya Allah, mereka ini Ahlulbait ku, kepada Mu bukan ke neraka Mu” atau kamu sekeluarga?

Abu Bakar: Kamu dan anak isteri mu.(Rujuk perbahasan ayatul Thathir dan siapa Ahlulbait)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah aku yang dimaksudkan dengan ayat: Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya dimana-mana(Al Insan:7) atau kamu?

Abu Bakar: Kamu(Asbabun Nuzul Wahidi; hal 331, Tafsir Fakhrul Radzi: Ayat berkenaan, Al Isabah: 8/68, Usudul Ghabah: 5/350,Nurul Absar: Hal 102)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah aku atau kamu yang dikembalikan matahari untuk menunaikan solat Asar yang terlepas kemudian ia terbenam semua?

Abu Bakar: Kamu(Lisanul Mizan:5/76, Al Bidayah wan Nihaya: 6/80, Musykilul Atsar: 2/8, Yanabi al Mawaddah: Hal 137)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah kamu yang melegakan Rasulullah(sawa) dan kaum Muslimin dengan pembunuhan Amru bin Abdu Wudd(perwira hebat di perang Khandaq) atau aku?

Abu Bakar: Kamu(Lisanul Mizan:5/76, Al Bidayah wan Nihaya: 6/80, Musykilul Atsar: 2/8, Yanabi al Mawaddah: Hal 137, Kifayatuth Thalib: Hal 227)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang diamanahkan oleh Rasulullah sebagai utusan kepada jin, lalu mereka menyahutnya, adalah aku atau kamu?

Abu Bakar: Kamu(Kifayatuth Thalib: Hal 230-231)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang disucikan oleh Allah dari penzinaan sejak Adam hinggalah bapanya dengan sabda baginda: “Aku dan kamu(Ali) adalah dari nikah yang sah bukan dari penzinaan sejak Adam hinggalah Abdul Muthalib itu” aku atau kamu?

Abu Bakar: Kamu(Kifayatuth Thalib: Hal 379, Majma’ uz Zawaid)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang dipilih oleh Allah untuk mengahwini puterinya Fatimah dengan sabdanya: “Allah telah mengahwinkan kamu denga Fatimah di langit” kamu atau aku?

Abu Bakar: Kamu(Al Sawaiqul Muhriqah:Hal 84-85, Kifayatuth Thalib: Hal 298-299)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah bapa Hassan dan Hussain menerusi sabdaan Nabi: “Kedua-duanya ahli syurga, dan bapa mereka berdua lebih baik dari mereka” adalah kamu atau aku?

Abu Bakar: Kamu(Kifayatuth Thalib Hal 204, Yanabi al Mawaddah: Hal 166)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Aakah saudara kamu yang dihiasi 2 sayap terbang ke syurga bersama para malaikat atau saudara ku?

Abu Bakar: saudara kamu.(Jaafar bin Abu Thalib)-(Yanabi al Mawaddah hal 519)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Aakah orang yang telah menjamin hutang Rasulullah dan mengadakan pengisytiharan di musim haji dengan melaksanakan janjinya adalah kamu atau aku?

Abu Bakar: kamu(Mizanul i’tidal: 1/306, Ad Durul Mantsur 3/309)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang didoakan Rasulullah ketika burung panggang ada di sisinya dan baginda bersabda ketika mahu memakannya: “Ya Allah hadirkanlah kepada ku orang yang paling Engkau cintai sesudah ku untuk memakan burung ini bersamaku” maka tidak ada seorang pun yang hadir melainkan kamu atau aku?

Abu Bakar: Kamu(Sahih Tarmizi: bil 373, Mustadrak:3/130, Mu’jamul Kabir: 1/253/730)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang diberi mandat oleh baginda Nabi untuk memerangi kaum Nakitsin, Qasithin dan Mariqin mengikut takwilan Al Quran adalah aku atau kamu?

Abu Bakar: kamu(Kanzul Ummal: 6/154, Tahzibut Tahzib: 3/178, Kifayatuth Thalib: hal 167-168)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah dengan kebijaksanaan dan kefasihan dengan sabdanya: “Ali adalah orang yang paling alim dalam ilmu penghakiman” aku atau kamu?

Abu Bakar: Kamu(Kifayatuth Thalib:Hal 112)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang Rasulullah pada masa hidup baginda telah memerintahkan para sahabat agar memberi salam kepadanya untuk menjadi ketua, aku atau kamu?

Abu Bakar: Kamu(Al Isabah:3/20, Kanzul Ummal: 6/155, Mustadrak al Hakim: 3/128)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang menyaksikan ucapan Rasul yang terakhir, mengurus dan mengkafankan jenazah beliau adalah aku atau kamu?

Abu Bakar: Kamu(Al Manaqib:Hal 60-63)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah aku kerabat Rasulullah atau kamu?

Abu Bakar: Kamu

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang dikurniakan Allah dengan dinar ketika ia memerlukan dan Jibril menjualkan kepadanya juga menjadikan Muhammad sebagai tetamu lalu ia memberi makan anaknya adalah kamu atau aku?

Abu Bakar(menangis): Kamu(Usudul Ghabah: 5/530 dan Kifayatuth Thalib: Hal 348-349)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang diletakkan Nabi di atas bahunya untuk menolak dan memecahkan berhala-berhala di atas Kaabah hinggakan jika dikehendaki nescaya ia dapat menyentuh ketinggian langit itu kamu atau aku?

Abu Bakar: Kamu(Mustadrak al Hakim: 3/5)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang diperintahkan Rasulnya supaya pintunya dibuka sementara pintu para sahabat lain ditutup itu aku atau kamu?

Abu Bakar: Kamu(Khasais Ali:Hal 17, Mustadrak: 3/125, Sahih Tarmizi: 2/301)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang dimaksudkan Nabi sebagai pemilik panji dunia dan akhirat itu kamu atau aku?

Abu Bakar: Kamu(Yanabi al Mawaddah: Hal 81)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang mengeluarkan sedekahtatkala diadakan perbicaraan khusus dengan Rasul dan ketika itu Allah mengkritik satu golongan: “Apakah kamu takut menjadi miskin kerana kamu memberi sedekah sebelum perbicaraan dengan Rasul(Al Mujadalah:13) itu aku atau kamu?

Abu Bakar: Kamu(Yanabi Al Mawaddah: Hal 100)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! Adakah orang yang dimaksudkan Rasul ketika baginda bersabda kepada Fatimah(sa): “Aku nikahkan kamu dengan orang yang pertama beriman kepada Allah” itu kamu atau aku?

Abu Bakar: Kamu(Dzakhairul Uqba: Hal 29, Sawaiqul Muhriqah: Hal 85, Kifayatuth Thalib: Hal 298)

Imam Ali: Aku menyeru kamu dengan nama Allah! adakah orang yang diberi salam oleh malaikat 7 langit di hari al Qulaib itu kamu atau aku?

Abu Bakar: Kamu(Tarikh Baghdadi:4/403)

Imam Ali: Jadi adakah dengan perkara-perkara ini dan seumpama dengannya kamu masih lebih berhak melaksanakan urusan umat Muhammad? Apakah yang membuatkan kamu terlanjur jauh dari Allah dan RasulNya, sedangkan kamu tidak memiliki sesuatu apapun yang diperlukan oleh penganut agamanya?

Abu Bakar menangis dan mejawab: Memang benar apa yang kamu katakan wahai Abul Hassan. Tunggulah hingga berlalu hari ku. Aku akan memikirkan tentang jawatan ku sebagai khalifah dan aku tidak akan mendengar lagi percakapan sebegini dari pada kamu.(Al Imamah wa Siyasah: Hal 18-19, Tarikh Yaakubi: 2/127-128)

Imam Ali: Itu terserahlah kepada kamu wahai Abu Bakar.

Inilah teks dialog yang berlangsung antara Imam Ali dan Abu Bakar. Dialog yang membuatkan Abu Bakar teresak-esak menangis kerana terpaksa mengakui kebenaran kata-kata Imam Ali(as).

Meskipun begitu, tiada sebarang tindakan susulan daripada Abu Bakar untuk menyerahkan kembali hak kepimpinan kepada orang yang lebih berhak walaupun dia telah mengakui kebenaran hak Imam Ali(as). Mengapa ye?

Wallahualam.

PrintFriendly

View the original article here


EmoticonEmoticon